Kecantikan adalah milik setiap insan. Semua orang mendambakannya. Pelbagai cara digunakan untuk memulihkan kecantikan yang sudah luntur agar kembali seperti sediakala. Duit ditabur tidak mengapa, asalkan hasrat untuk menjadi cantik itu dapat digapai. Namun begitu, definisi cantik itu tetap subjektif. Cantik itu subjektif. Terdapat wanita yang berkata "saya cantik bila saya kurus" dan ada juga yang menyatakan " saya cantik kalau kulit saya gebu, putih, licin bak telur dikupas". Akan tetapi saya percaya kenapa ramai wanita mengabaikan atau mengatakan "TIDAK" kepada rutin kecantikan yang rumit kerana punca utamanya adalah tuntutan kerja seharian. Tambahan pula dengan kerja seharian dengan menjaga anak-anak sehingga lupa menjaga kecantikan diri kerana kesibukan yang melampau. Malah ada juga yang tidak sanggup menempuh waktu hamil kerana bimbang kehilangan bentuk badan yang ideal. Sebenarnya cantik itu merupakan sesuatu keperluan bagi setiap wanita. Apabila kita mulai mengabaikan perkara - perkara yang merupakan asas kepada kecantikan, secara tidak langsung tubuh badan dan emosi juga turut terjejas kerana tidak dijaga dan diberi perhatian sepenuhnya. Jangan hanya kerana perkara tersebut menghalang diri anda untuk terus kekal cantik dan bergaya. Cantik juga bukan hanya perlu diberi tumpuan kepada wajah sahaja, badan, rambut, kuku, kaki, gigi, bibir, mata dan juga dalaman semuanya perlu diberi perhatian. Amati diri anda didepan cermin setiap inci dan mencari jalan penyelesaian bagi mengembalikan kecantikan dan juga kesihatan diri.
Cantik juga bukan hanya bagi wanita atau perempuan sahaja bahkan lelaki juga perlu mementingkan kecantikan itu. Kecantikan bagi lelaki sebenarnya hampir sama dengan keperluan kecantikan itu bagi wanita. Cuma kecantikan bagi lelaki mungkin lebih kepada kepentingan menjaga kesihatan dan menjaga imej diri supaya bersih dan sentiasa kemas. Wanita pula lebih kearah perkara-perkara lazim seperti pelbagai ritual atau amalan lazim di lakukan hanya semata-mata untuk kelihatan cantik dan awet muda sentiasa. Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad juga punya amalan tersendiri menjalani kehidupan sihat ketika usianya mencecah 85 tahun. Antara amalan yang diamalkan oleh Tun Mahathir ialah tidak berhenti melakukan sebarang kerja, sentiasa senyum, berasa gembira, dan melakukan perkara yang digemari agar sentiasa kelihatan muda dan sihat (Intrend, Mei 2012). Ini membuktikan lelaki juga ada cara mereka tersendiri mentakrifkan istilah "cantik" itu. Justeru cantik itu mempunyai pelbagai maksud dari segi istilah dan definisinya berdasarkan pelbagai aspek seperti agama, budaya, komunikasi dan ketrampilan diri.
CANTIK PADA KACA MATA ISLAM
Dalam konteks istilah cantik menurut islam pula, erti cantik itu sangat meluas. Cantik bukanlah hanya kepada kecantikan fizikal dan kulit semata-mata, tetapi mengarah ke hal yang lebih luas iaitu kesihatan dari segi fizikal dan rohani (Ustaz Md Nor Mamat, 2009). Sememangnya fitrah wanita untuk suka akan kecantikan itu adalah sesuatu yang semulajadi. Di mana perhiasan yang tercipta di muka bumi Allah S.W.T ini adalah untuk kaum hawa yang bergelar wanita dan bukannya untuk lelaki. Akan tetapi Islam sebagai agama yang sempurna mempunyai beberapa peraturan yang boleh dijadikan sebagai panduan termasuklah dalam mengatur penampilan seseorang wanita itu.
Firman Allah S.W.T,:
"....dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliyah (orang dahulu)
(Surah Al-Ahzab [33]: 33)
Ayat diatas sebagai panduan menjelaskan agar manusia tidak perlu mengubah ciptaan dan kejadian Allah S.W.T. Perkara ini termasuklah soal penampilan diri. Arus kemodenan menyebabkan ramai wanita nekad untuk tampil cantik sehingga tidak menghiraukan lagi aturan Islam yang sebenarnya melarang berhias berlebihan ketika keluar dari rumah. Setiap individu boleh kelihatan cantik tidak kira dari pelbagai aspek asalkan tidak melanggar hukum islam yang telah ditetapkan dan tidak menggunakan kepercayaan-kepercayaan karut yang bersifat mistik seperti susuk atau sebagainya hanya untuk kelihatan cantik.
Menurut Ustaz Md Nor Mamat (2009), berdasarkan riwayat Bukhari dan Muslim :
"Rasullah bersabda : Allah S.W.T melaknat wanita yang suka mentatu tubuhnya dengan cara menusukkan jarum yang disertai nila atau celak ke dalam tubuhnya (al-Wasyimah), wanita yang meminta orang lain agar mentatu dirinya (al-Mutausyimah), wanita yang menyambut bulu-bulu di sekitar wajahnya, termasuklah yang memendek dan menghilangkan bulu alisnya (al-Mutanamishah), wanita yang mengikir celah-celah giginya supaya menjadi renggang (al-Mutafalijat), yang mengubah ciptaan Allah S.W.T."
Hadithnya lain turut menyebut,
"Rasullulah, melaknat perempuan yang menyambung rambutnya dengan rambut wanita lain, atau dengan benda lain (al-Washilah), wanita yang menyuruh orang lain untuk menyambung rambutnya (al-Mutawashilah).
Oleh yang demikian, cantik di dalam islam adalah dibenarkan tetapi mestilah dengan cara yang dibenarkan, tidak berlebihan dan tidak melanggar hukum dan syarak dalam islam. Penampilan seseorang yang cantik itu bukan hanya pada sifat luaran sahaja. Akan tetapi setiap aspek perlu di ambil kira, di mana cantik dalam islam perlulah berlandaskan agama, mempunyai keperibadian dan akhlak yang mulia serta hati yang bersih. Islam menekankan konsep cantik perlu bersederhana dan bukan untuk menunjuk-menunjukkan kecantikan yang dimiliki.
CANTIK DARIPADA PERSPEKTIF BUDAYA
Biasanya kecantikan itu memang sukar dipisahkan dengan wanita kerana setiap individu daripada pelbagai budaya mendefinisikan cantik itu merujuk kepada perihal wanita. Setiap budaya mempunyai pandangan masing-masing dalam menyatakan atau mendefinisikan erti "cantik" bagi mereka. Kecantikan itu dirujuk daripada pelbagai sudut dan perspektif seperti yang boleh dilihat di pelbagai negara di dunia ini. Di mana pada suatu ketika dahulu jika dilihat di negara-negara Eropah mendefinisikan cantik itu dengan memakai korset yang dapat membentuk badan agar sentiasa langsing dan cantik. Tetapi sekarang korset hanya dipakai sebagai baju kebangsaan di negara-negara Eropah ataupun dipakai untuk menyambut sesuatu acara atau perayaan. Lain pula istilah cantik bagi kaum wanita di negara Mauritania di Afrika Barat. Jika seseorang itu kurus dan langsing dianggap cantik oleh hampir setiap wanita di dunia ini. Berbeza dengan wanita di negara Mauritania ini mengistilahkan gemuk itu cantik dan kurus itu tidak. Menurut Pascale Harter (2004), gemuk dilihat sebagai lambang kekayaan dan jika wanita atau gadis itu kurus dianggap sebagai miskin dan tidak akan dihormati. Di dorong dengan kepercayaan dan budaya masyarakat tersebut, mereka sanggup memaksa anak-anak mereka dan isteri mereka sehinggakan mereka mengalami obesiti.
Selain itu, terdapat sesetengah budaya mengganggap kesopanan itu adalah cantik. Jika dilihat pada masyarakat Melayu di Malaysia, pemakaian pakaian tradisional Melayu seperti berbaju kurung bagi wanita dan bagi lelaki berpakaian baju melayu dianggap cantik, sopan, beradab dan menarik. Pakaian tersebut melambangkan adat dan budaya masyarakat Melayu. Begitu juga di negara-negara arab, menutup aurat dengan memakai pakai menutupi seluruh tubuh dianggap cantik dan bertamadun. Terdapat juga budaya yang menukar atau mentransformasikan diri mereka secara ekstrem untuk menunjukkan kecantikan. Seperti wanita dari kaum etnik Kayan di Myanmar yang menyatakan atau mendefinisikan cantik itu adalah dengan memakai gegelung tembaga dileher mereka untuk mencapai tahap kewanitaan. Apabila wanita Kayan ini ditanya, mereka seringkali menjawab dan mengakui idea-idea ini bahawa tujuan mereka adalah mengekalkan identiti budaya mereka iaini salah satunya berkaitan kecantikan (wikipedia, 2013). Lagi banyak gegelung leher tembaga itu dipakai, mereka akan kelihatan lebih cantik. Kayan wanita apabila ditanya mengakui idea-idea ini tetapi sering mengatakan bahawa tujuan mereka untuk memakai cincin adalah identiti budaya (salah satu yang berkaitan dengan kecantikan).
Manakala di Jepun, Geisha merupakan standard atau piawaian beribu tahun bagi kecantikan wanita di Asia Timur. Geisha ialah penghibur Jepun tradisional wanita yang bertindak sebagai pelayan wanita dan kemahiran yang termasuk melaksanakan pelbagai seni Jepun seperti muzik klasik, tarian dan permainan. Menurut The Beauty Junkee (2011), kulit putih adalah simbol kecantikan bagi Geisha dan mereka menggunakan serbuk putih di seluruh wajah-wajah wanita Jepun. dan menjadikan mereka benar-benar putih dan pucat. Demikian, istilah atau definisi cantik daripada perspektif budaya yang berbeza di dunia ini. Di mana setiap budaya di dunia mengistilahkan perkataan "cantik" daripada pelbagai aspek. Cantik itu boleh ditakrifkan dari segi pemakaian, tingkah laku, amalan, kepercayaan dan budaya. Bermacam-macam aspek boleh di ambil kira dalam mendefinisikan cantik tersebut kerana kecantikan itu milik setiap insan.
CANTIK DARIPADA ASPEK KOMUNIKASI DAN KETERAMPILAN DIRI
Kecantikan bukan hanya perlu memberi keutamaan kepada kepada wajah yang perlu disolek atau cara berpakaian untuk membina imej tetapi ia sebenarnya merangkumi pelbagai aspek antaranya seperti skil komunikasi atau kemahiran berkomunikasi iaitu cara kita bertutur, pembawaan diri dan juga etika bersosial. Cantik itu sememangnya sesuatu yang subjektif akan tetapi ia harus mencapai suatu tahap seperti kesihatan mental, fizikal dan spiritual untuk melengkapkan penampilan imej yang efektif. Sebagai contoh boleh dilihat pada Oprah Winfrey, di mana beliau mungkin bukanlah wanita tercantik tetapi dengan kepandaian beliau berkomunikasi dan kebijaksanaan dengan kepandaiannya dalam mengendalikan perniagaan menjadikan beliau personaliti terkaya dan dikagumi ramai.
Tiada seorang pun wanita yang dilahirkan di dunia ini tidak cantik melainkan mereka malas. Setiap individu dianugerahkan kepandaian dan kelebihan masing-masing dan mereka perlu berusaha mencari jalan untuk menghadapi cabaran diri. Wanita juga harus menghormati diri sendiri dengan menjaga nilai kesihatan, kebersihan, penampilan dan mengelakkan diri daripada tekanan (stress). Dengan menjadikan disiplin dalam menjaga penampilan dan kesihatan diri sebagai amalan dan rutin harian, sudah pasti imej setiap wanita akan terpelihara dan tampil menarik. Seseorang wanita yang dilahirkan cantik dari segi fizikal memang sesuatu bonus tetapi ia haruslah dilengkapi dengan kepandaian secara intelek serta keperibadian yang elok. Ini kerana kecantikan tidak akan pernah kekal, tetapi kepandaian boleh menjamin masa depan dan seharusnya ia datang dalam pakej.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, cantik itu boleh ditakrifkan daripada pelbagai aspek seperti agama, budaya komunikasi dan ketrampilan diri. Setiap individu perlu memantapkan diri mereka dengan perkara-perkara yang telah dinyatakan dalam memperolehi kecantikan bukan sekadar luaran tetapi juga peribadi dalaman. Walaubagaimanapun, kecantikan luaran dan penampilan diri tetap harus dijaga dan diutamakan kerana "Your Look Is Your First Impression". Di mana apabila seseorang melihat penampilan anda buat pertama kali, dia akan dapat gambaran tentang diri anda kerana apa yang ditampilkan oleh diri anda dari segi kebersihan, tutur kata, komunikasi dan raut wajah itu menunjukkan keperibadian dan kecantikan diri anda. Jika anda malas menjaga kecantikan diri anda maka imej atau gambaran terhadap diri anda akan bersifat negatif. Oleh yang demikian, komunikasi dan penampilan diri sangat penting dalam perihal kecantikan Di samping, setiap individu haruslah bersyukur keatas nikmat yang diberikan Allah S.W.T dalam setiap saat dalam kehidupan kerana Allah akan sentiasa melipat gandakan rezeki kita. Kita juga perlu sayang dan hormat kepada diri kita, secara tidak langsung kita akan sentiasa merawatnya dan menjaganya. Kata kunci untuk tampil cantik, menarik dan berkeyakinan adalah percaya kepada diri sendiri.
RUJUKAN :
Intrend, Mei 2012. Rahsia tidak
dimamah usia.
MIDI, Mac 2009. Pendapat Pakar :
Ustaz Md Nor Mamat
Pascale H. (2004). Mauritania's 'wife-fattening' farm.
BBC News.
The Beauty Junkie. (2011). Beauty
by cultural definition.
