Teringat kembali lagu nyanyian R.Azmi yang popular satu ketika dahulu iaitu "Dari kerana mata yang mempunyai kuasa...Oh aku tergoda...aku tergoda terkecewa...dari kerana mata...". Lagu ini mempunyai signifikasi dengan kecantikan wanita dek terpesona matanya. Disebabkan terpukau dengan pandangan mata yang bermakna lantas hati seseorang terus terpaut kepada kecantikannya. Ini bermakna ketrampilan pada mata merupakan antara aspek yang penting untuk dijaga agar sentiasa tampil menawan. Akan tetapi setiap individu pasti menghadapi masalah lazim yang berlaku kepada mata antaranya seperti lingkaran hitam bawah mata, mata sembap, mata penat, kedutan, garis halus sekitar mata dan banyak lagi masalah yang sering dihadapi. Sehinggakan kerana masalah-masalah yang dihadapi ini menjejaskan kecantikan raut wajah dan imej individu tersebut. Terdapat juga faktor-faktor yang menyumbang kepada masalah yang menyebabkan lingkaran hitam bawah mata, mata sembap, mata penat, kedutan dan garis halus muncul di sekitar mata. Justeru hal ini akan di atasi dengan berkongsi beberapa petua tradisi dan moden yang praktikal untuk dicuba agar anda sentiasa boleh tampil cantik menawan dengan aura sepasang mata.
1) Masalah Lingkaran Hitam Bawah Mata
Setiap individu pasti akan menghadapi masalah lingkaran hitam bawah mata. Berdasarkan Intrend (2010), lingkaran hitam bawah mata terjadi akibat peredaran darah menjadi perlahan dan daripada akibat mata fokus pada sesuatu objek didalam tempoh yang panjang, emosi tidak stabil, tekanan fisiologi dan mata tidak mendapat rehat secukupnya. Seiring dengan itu, keletihan yang dialami setelah seharian bekerja menyebabkan lingkaran hitam bawah mata muncul. Selain daripada itu, disebabkan faktor kerja tidak menentu, terpaksa jaga tengah malam menyebabkan anda kurang tidur dan rehat yang cukup. Penurunan berat badan yang mendadak juga salah satu sebab lingkaran hitam bawah mata muncul.
Petua
Ambil beberapa helai daun pudina dan tumbuk sehingga hancur. Kemudian letakkan di sekitar bahagian mata dan biarkan selama 10 minit sebelum mencucinya dengan air sejuk. Menurut majalah Eh! (2012) pula, bagi melancarkan peredaran darah di sekitar bahagian mata, bolehlah lakukan senaman ringan dengan menggerakkan mata ke kanan, kiri, atas dan bawah dalam kiraan 5-12 saat bagi meredakan ketegangan di sekitar otot mata. Selain daripada itu senaman ini sangat berkesan sekiranya anda melakukan tugasan sepanjang hari di hadapan komputer.
2) Masalah Mata Sembap
Mata sembap muncul apabila mata terpaksa bekerja lebih masa dan tidak memperoleh rehat yang secukupnya yang menyebabkan mata terlalu penat dan apabila bangun pagi mata sembap kelihatan. Mata sembap jelas kelihatan apabila kantung bawah mata membengkak dan ia mula menjejaskan wajah dan nampak tidak segar dan tidak bermaya. Selain daripada itu, berdasarkan Intrend (2010), faktor yang dapat dikenalpasti menyebabkan mata seseorang itu kelihatan sembap adalah terlalu banyak menangis dan mengambil makanan atau minuman yang mempunyai paras alkohol atau garam yang tinggi.
Petua
Mata sembab yang boleh ditangani dengan menggunakan potongan ubi kentang yang segar. Caranya adalah dengan meletakkan potongan ubi kentang di atas mata selama beberapa minit. Menurut blog wadi (2012), timun turut boleh digunakan untuk mengantikan kentang tetapi perlu diletakkan dalam peti sejuk seketika sebelum meletakkan pada mata. Timun mengandungi astringen yang menbantu mengurangkan sembab dan lebam pada mata.
3) Masalah Keletihan Mata
Masalah keletihan mata sering dihadapi oleh setiap individu. Masalah ini terjadi apabila kita memberi tumpuan kepada objek terlalu lama seperti melihat komputer sepanjang hari tanpa berehat, menonton televisyen lebih daripada 12 jam dan sebagainya. Selalunya masalah-masalah ini sering terjadi pada individu yang bekerja sebagai web programmer, pereka laman web, pereka grafik, penulis blog dan individu yang suka menghabiskan masa berjam-jam lamanya dihadapan komputer akan menghadapi masalah keletihan mata sehingga satu tahap mereka tidak memperoleh tidur yang cukup. Lebih buruk lagi apabila retina terlalu fokus pada skrin pada tempoh masa yang lama elemen seperti pengcahayaan dan warna yang terkena pada mata ketika mata tertumpu pada skrin boleh menjejaskan penglihatan.
Petua
Ambil 2 uncang teh dan lembapkan ia ke dalam air panas. Kemudian sejukkan uncang teh tadi dengan memasukkan dalam peti ais. Setelah ia sejuk, letakkan ke atas mata selama lebih kurang 15 minit. Selain itu, setelah 1 hingga 2 jam mengadap komputer, boleh berhenti sekejap dengan melihat objek-objek hijau di luar rumah atau pejabat seperti pokok-pokok kerana warna hijau itu memberi ketenangan dan merehatkan mata yang letih (WADI, 2012).
4) Masalah Kemunculan Kantung Mata
Kemunculan kantung mata berpunca daripada pola tidur yang tidak teratur. Selain daripada itu perubahan cuaca, perjalanan yang jauh serta perubahan hormon di dalam tubuh badan kita turut menyumbang kepada kemunculan kantung mata. Alahan terhadap ubat juga boleh mewujudkan kantung mata. Masalah kantung mata boleh diatasi dengan mengamalkan petua tersebut.
Petua
Melakukan "tapping massage" pada bahagian kantung mata dengan menggunakan jari tengah. Urut dari arah tengah ke pinggir mata dengan gerakan membulat. Selain daripada itu, ais juga boleh membantu dengan membungkus ais tersebut pada kapas dan pedapkan pada kedua mata.
5) Kerutan Dan garis halus sekitar mata
Kerutan dan garis halus berpunca daripada pertambahan usia seseorang yang semakin meningkat. Kadang-kadang masalah ini juga di hadapi oleh setiap orang individu walaupun umur sesorang itu belum berusia atau tua. Ini kerana di mana kulit mereka mula kekurangan kalogen dan kulit mula hilang keanjalannya. Punca utama berlakunya kerutan dan garis halus di sekitar mata adalah disebabkan sinaran matahari yang berlebihan dan dehidrasi (kekurangan air dalam badan).
Petua
Selepas seharian bekerja mengenakan alat solek di muka dan mata. Ia seharusnya dibersihkan dengan menggunakan pembersih khusus (make up remover) agar sisa kosmetik tidak tinggal diwajah yang membolehkan pori-pori tersumbat. Sebelum tidur bolehlah sapukan krim mata yang membantu merawat mata anda pada malam hari. Disamping setiap individu perlu meminum air secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi dan perlu banyakkan mengambil buah-buahan serta sayur-sayuran bagi membantu pembentukan kalogen yang menambah keanjalan kulit di sekitar mata.
Oleh yang demikian, masalah-maslah ini lazim berlaku apabila seseorang individu ini mengalami faktor-faktor seperti yang dinyatakan diatasa iaitu pola tidur yang tidak teratur, mata terlalu lama menumpukan pada sesuatu objek, emosi tidak stabil, tekanan kerja dan sebagai menyumbang kepada perkara-perkara tersebut. Diharap petua-petua tradisi dan moden ini dapat dipraktikan oleh saudara dan saudari dalam membantu menangani masalah tersebut. InsyaAllah ia berkesan.
RUJUKAN
Eh! (2012). 5 Petua Mudah Untuk Mata Menawan
Intrend (2010). Dari Kerana Mata.
Blog Wadi (World of Ad-Dien). (2012). 7 Tips Dan Petua Mengatasi Mata Semban dan Hitam. Dimuat turun pada April 21, 2012. Dari laman web http://addienblog.blogspot.com/2011/01/petua-menjaga-kesihatan-mata.html
0 comments:
Post a Comment