.

08:49

TOPIK 3 : MEMORI DI SEKOLAH

Posted by Unknown |

Setiap kenangan pasti ada pahit dan manis. Begitu juga diriku masa di sekolah. Ada ketika aku ingin kembali waktu sekolah dahulu tetapi ada ketika aku juga ingin lupakan kenangan lalu. Jadi disini aku ingin berkongsi sedikit memori lama ketika aku berada di sekolah dahulu. Pada tahun 1993, aku masuk umur 6 tahun dan didaftarkan ke sekolah tadika Cikgu Fauzan yang terletak di bangunan kelas kemahiran hidup di Sekolah Kebangsaan Parit Sulong. Aku teringat semasa di tadika akulah pelajar yang paling tinggi mengatasi kawan-kawan seangkatanku yang lain. Di sekolah tadika cikgu Fauzan lah aku mula mengenali huruf dan nombor, membaca dan juga menulis. Pada ketika itu aku teringat masa kelas cikgu Fauzan, aku dan kawan-kawanku beramai-ramai pergi keluar dari kelas dan minta kebenaran dari cikgu untuk ke tandas. Setelah ke tandas kami tidak terus pulang ke kelas tetapi kami pergi ke belakang kelas menuju ke arah tandas di belakang sekolah tersebut. Aku lihat terdapat banyak tandak lebih daripada 20 buah tandas terbuka tetapi tidak boleh digunakan. Jika dilihat pada ketika itu tandas tersebut hanya mempunyai atap yang panjang dan tidak bertutup. Teringat kembali pada ketika itu seorang pakcik tukang kebun di situ melarang kami bermain di situ kerana di takuti hilang. Rupanya tempat itu agak keras kerana berhampiran dengan tandas tersebut terdapat sebuah rumah yang merupakan tempat yang pernah menjadi kubu dan kediaman tentera Jepun suatu ketika dahulu. Selepas kami dihalau pulang oleh tukang kebun tersebut, kami pun di marahi oleh cikgu dan di denda kerana melencong ke tempat lain. Cikgu Fauzan menasihati kami supaya tidak pergi ke tempat tersebut lagi.

Setelah beberapa tahun kemudian aku telah masuk ke Sekolah Kebangsaan Parit Sulong. Bila teringat waktu masuk darjah satu kelakar saja jika diingat semula. Kelas darjah satu pada ketika itu dibezakan mengikut warna. Warna Hijau kelas nombor satu, warna biru kelas nombor dua, warna kuning kelas nombor tiga dan kelas terakhir warna merah. Aku telah di masukkan kelas warna biru bersama kawan-kawan baru. Guru kelas Biru ialah Cikgu Fauziah. Dia sangat baik hati dan lemah lembut. Akan tetapi pada suatu hari kami telah di bagi kerja sekolah yang memerlukan kami menulis semula ayat berulang-ulang. Selepas siap tulis barulah boleh dibenarkan pulang. Aku dapat pulang awal kerana kerja sekolahku telah disiapkan lebih awal. Pada keesokkan harinya cikgu Fauziah dengan nada yang garang memarahi seorang budak yang berada di dalam kelasku yang bernama Fadzlina tetapi kami dan kawan-kawan yang lain panggil Nana. Rupa cikgu tersebut telah di marahi  dan ditengking oleh ayah Nana gara-gara anaknya lambat keluar dari kelas dan nana mengadu pada ayahnya bahawa cikgu Fauziah sengaja paksa siapkan kerja kelas sambil menangis. Pada ketika itu aku tahu yang Nana itu kategori mengada-ngada dan manja sikit mengadu pada ayahnya. Cikgu Fauziah memberi nasihat kepada kami supaya kami harus siapkan kerja rumah yang diberikan dan rajin belajar dan sikap seperti Nana tidak patut dicontohi. Jika hendak diingat semula Nana juga pernah mencuri lukisan yang dilukis oleh aku di rumah dan menulis di belakang lukisan tersebut nama beliau. Hai...apa lah jadi dengan dia sekarangkan. Macam-macam benda tidak elok yang dilakukan olehnya, diharap sekarang beliau sudah insaf.

Pada tahun 1996 pula aku telah naik kelas Hijau berikutan keputusan peperiksaan yang sangat mengembirakan  kerana telah memperolehi tempat kedua di dalam kelas Biru tetapi terpaksalah aku bersaing dengan budak-budak pandai di kelas tersebut. Gaya cikgu yang mengajar pun agak berbeza daripada di kelas dahulu lebih tegas. Lagi bila teringat arwah cikgu Zam Zam yang mengajar subjek Bahasa Inggeris sangat garang dan tegas. Jika tidak dapat menjawab soalan kami terpaksa berdiri di atas kerusi sampai tamat kelas bahasa Inggeris tersebut. Aku teringat pada suatu hari aku telah menjadi anak murid arwah cikgu Zam Zam kerana telah dapat menjawab soalan bahasa Inggeris yang diutarakan. Ini kerana kami semua telah menulis semula pembetulan sebanyak 30 kali. Walhal rupanya dia hendak kami tulis "3 times only". Iyalah kan pada ketika itu mana tahu sangat bahasa inggeris. Semua di dalam kelas tidak dapat menjawab dan pada ketika itu hanya aku sahaja yang menjawab "3 kali cikgu!". Pada ketika itu aku seorang yang di suruh duduk dan mereka yang lain di suruh berdiri sehingga kelas tamat. Pada masa itu aku digelar anak emas cikgu Zam Zam kerana kepandaian aku dalam Bahasa Inggeris. Biasalah zaman budak-budak masa itu gelaran yang diberikan sebenarnya tanda memerli dan cemburu. Bila teringat kembali cikgu Zam Zam rindu pula kepadanya. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

Setelah tamat UPSR pada tahun 1999 aku telah masuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Sulaiman yang terletak tidak jauh dari rumah kira-kira 100 meter jalan kaki dari rumah. Kelas di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Sulaiman agak berbeza daripada sekolah rendah. Kelas pun lagi banyak sampai 8 kelas semuannya dan disebut berdasarkan huruf M, A sehingga G. Kelas M digelar kelas Mutiara kelas untuk budak-budak pandai. Kelas M. A, B, dan C merupakan kelas perusahaan di mana mereka ditempatkan akan belajar subjek tambahan seperti asas-asas ekonomi dan perusahaan. Manakala D, E, F dan G merupakan kelas pertanian dan mata pelajaran pertanian merupakan subjek tambahan di kelas-kelas tersebut. Aku telah dimasukkan dalam kelas D pertanian. Daripada tingkatan 1 sehingga ttingkatan 2 aku berada dikelas D antara 3 kelas terbaik di sekolah tersebut M, A dan D. Akan tetapi pada tingkatan 3 aku telah jatuh kelas dan masuk kelas E kerana aku telah gagal subjek Matematik yang di ajar oleh cikgu Norziah. Jika dingatkan memang aku tidak faham langsung macam mana cikgu itu ajar. Cikgu Norziah ini pulah kalau mengajar suka tengking jika kami dalam kelas tidak dapat menjawab tetapi bila aku turun kelas E aku mendapat skor A dalam matematik.

Apabila aku nilai semula kenapa aku boleh perolehi A dalam Matematik pada ketika itu kerana cikgu Suhaimi yang mengajar kelas matematik tersebut sangat baik dan mengajar kami dengan teknik-teknik yang mudah dan senang untuk difahami. Cikgu Suhaimi tidak menengking tapi membuat lawak matematik memudahkan aku untuk mengingat rumus matematik. Bila aku lihat perbezaan di kelas kategori pandai dan kelas kategori kurang pandai ini. Baru aku tahu gaya mengajar memang sangat berbeza kerana cikgu-cikgu yang mengajar di kelas-kelas pandai ini mempunyai KPI (Key Performances Indicator) bagi kelas tersebut. Maka mereka menekan pelajar untuk berfikir dan belajar dengan lebih tekun dengan cara yang mendesak seperti tengking dan denda. Apabila di kelas kategori kurang pandai cikgu lebih memberi perhatian kepada kami dan mengajar dengan penuh ikhlas dan tidak terlalu memaksa supaya kami tidak menghadapi tekanan.

Pada ketika itu aku memang mengecapi kejayaan kerana peperiksaan percubaan PMR aku mendapat 5A dan 3B membolehkan aku mendapat tempat pertama di kelas E dan tempat ketiga bagi keseluruhan kelas 8 buah kelas yang lain. Alhamdulillah pada masa itu aku mampu merasa bangga dengan pencapaian yang aku perolehi. Aku telah buktikan pada cikgu-cikgu yang pernah mengajar aku bahawa pelajar dari kelas E juga boleh mengatasi budak kelas M,A dan D yang dibanggakan selama ini. Setelah keputusan PMR sebenar diperolehi aku mendapat A dan B bagi mata pelajaran Matematik dan Sains yang merupakan subjek yang di utamakan untuk masuk kelas M,A dan B. Apabila sudah masuk menengah 4 dan 5 kelas Sains Tulen merupakan kelas M, A dan B. Manakala kelas D dan E adalah kelas Ekonomi serta kelas F dan G merupakan kelas sastera. Aku telah di masukkan di dalam kelas B untuk kelas Sains Tulen. Pada masa itu aku bersyukur ke hadrat ilahi kerana memasuki kelas B. Aku teringat kepada kawan baikku Maisarah Sanusi pada masa itu telah menangis kerana keputusan dia perolehinya tidak membolehkan beliau  untuk masuk kelas yang sama dengan aku. Aku turut berasa sedih kerana selama aku dikelas E semasa tingkatan 3 kami sama-sama belajar dan sentiasa ke mana-mana pun bersama. Maisarah  di tempatkan di kelas F iaitu kelas sastera. Kalau hendak diikutkan masuk kelas sastera lagi seronok kerana tidak perlu belajar subjek Kimia, Biologi dan Fizik yang memeningkan daripada belajar Sains.

Pada tahun 2004 merupakan tahun terakhir aku di Sekolah Menengah Dato' Sulaiman. Aku bersama kawan-kawan yang lain dikehendaki mengambil subjek tambahan Reka Cipta yang mengkehendaki kami untuk membuat sebuah alat yang di reka cipta. Setiap orang di dalam kelas masing-masing perlu menyiapkan hasil projek masing-masing. Projek yang aku hasilkan pada ketika itu ialah alat untuk memetik buah mangga dengan menggunakan brek basikal dipasang mata pisau dan disambung pada batang besi serta karung buah lengkap di pasang pada alat tersebut. Karung buah tersebut aku hanya gunakan langsir hijau yang tidak digunakan lagi untuk dipasang pada alat tersebut. Kami dibahagi masa 3 bulan untuk menyiap projek tersebut. Alhamdulillah selama masa 3 bulan yang diberikan, aku telah dapat menyiapkan projek tersebut. Dalam masa 3 bulan itu juga aku mempelajari pelbagai benda seperti memotong besi guna alat pemotong besi, membentuk mata pisau menggunakan mesin pencanai, belajar memateri untuk menyambung batang besi dam sebagainya. Pada masa itu kami pergi ke kelas Reka Cipta pada waktu siang dan malam untuk menyiapkan projek tersebut. Akhirnya tugasan projek tersebut dapat disiapkkan dalam tempoh masa ditetapkan. Apa jadi kepada alat memotong buah mangga tersebut? Kali terakhir di pameran yang dilaksanakan oleh kelas kami. Projek yang tidak dikembalikan di ambil oleh cikgu sebagai contoh pelajar seterusnya pada kelas akan datang. Alat aku merupakan antara hasil ciptaan yang telah dipilih oleh cikgu untuk dijadikan simpanan.

Tamat sekolah menengah aku telah menyambung pelajaran di sebuah kolej swasta iaitu kolej PTPL Shah Alam dalam jurusan bidang Rekabentuk Grafik. Hasil daripada minat yang mendalam dalam bidang seni. Itulah hasil daripada minat masa sekolah dahulu. Bila teringat perkara-perkara ini rindu pulak untuk kembali ke zaman sekolah-sekolah. Macam-macam benda boleh dilakukan dan macam-macam benda baru banyak dipelajari. Bila sudah bekerjaya ini agak letih sehinggakan masa bersama-sama kawan-kawan pun tiada berbanding ketika belajar dahulu. Apabila terkenang semula memori di sekolah ini hati aku tiba-tiba tersenyum.

1 comments:

Anonymous said...

Betway Review - Is it Worth Your Time?
The Betway app is among 심바 먹튀 the best among mobile sports betting platforms for punters in the 1xbet UK. They also offer an excellent  Rating: 카 심바 슬롯 4 · ‎Review 라이브 스코어 사이트 by Online 비트코인 시세 사이트 Casino NZ

Post a Comment